PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan tiada calon menang tanpa bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), manakala enam borang pencalonan ditolak.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, dalam sidang media, mengenai proses penamaan calon di seluruh negara, di sini, hari ini, berkata satu siaran media bagi menerangkan perkara itu akan dikeluarkan.
Beliau berkata, Parlimen Batu mencatatkan jumlah pertandingan tertinggi dalam PRU15 yang membabitkan 10 penjuru.
“Bagi pertandingan di Dewan Undangan Negeri (DUN) memperlihatkan pertandingan paling tinggi di N47 Chenderiang, Perak, iaitu tujuh penjuru,” katanya.
Abdul Ghani berkata, Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Bugaya, Sabah, juga menyaksikan pertandingan tujuh penjuru.
Proses penamaan calon PRU15 dan PRK DUN Bugaya berlangsung di 222 pusat penamaan calon di seluruh negara bermula dari 9 pagi hingga 10 pagi, 5 November.
Abdul Ghani berkata, dengan selesainya urusan itu bermakna tempoh berkempen bermula selepas pengisytiharan pilihan raya dipertandingkan oleh pegawai pengurus sehingga 11.59 malam, 18 November.
PRU15 membabitkan 222 kerusi Parlimen dan 116 kerusi DUN iaitu Perak (59), Pahang (42) dan Perlis (15).
SPR menetapkan hari pengundian PRU15 pada 19 November dan pengundian awal pada 15 November.
Daftar Pemilih Tambahan pada Ogos 2022 yang dikemas kini sehingga 9 Oktober akan digunakan untuk PRU15.
Ia mengandungi 21,173,638 pemilih yang terdiri daripada 20,905,366 pengundi biasa, tentera serta pasangan (146,737), polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (118,794 ) dan Pengundi Tidak Hadir Luar Negara (2,741). – BERNAMA