Tiada janji, aokmer lihatlah bukti

Tiada janji, aokmer lihatlah bukti

TEMERLOH: Giliran guru dan penyelia Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Pahang pula menerima imbuhan daripada kerajaan negeri hari ini.

Sebanyak RM818,600 diperuntukkan kerajaan negeri sebagai insentif khas kepada semua guru dan penyelia KAFA Pahang yang membabitkan 2,662 orang guru. 

YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata menerusi peruntukan itu, setiap guru KAFA menerima sumbangan RM300, manakala penyelia KAFA pula sebanyak RM500 setiap seorang. 

“Insentif ini untuk menghargai peranan, sumbangan, pengorbanan, jasa serta khidmat bakti guru dan penyelia KAFA di negeri ini, yang berusaha gigih melahirkan anak-anak yang membudayakan ilmu al-Quran dan fardu ain dalam kehidupan. 

“Kerajaan negeri amat menghargai sumbangan yang diberikan anda semua bagi memastikan usaha melahirkan masyarakat madani dan mencintai ilmu agama di negeri ini tercapai dengan jayanya. 

“Pihak JAIP (Jabatan Agama Islam Pahang) menguruskan pemberian insentif ini yang melibatkan seramai 2,662 orang guru KAFA dan 40 orang penyelia KAFA di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sebelum menyempurnakan Majlis Penyerahan Insentif Kerajaan Pahang Kepada Guru-Guru dan Penyelia KAFA Pahang di Dewan Dato’ Zaharudin Kasim, Kerdau di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin dan barisan EXCO Kerajaan Pahang. – HELMY ABD RAHMAN