KUANTAN: Tiada kelibat harimau belang ditemui di sempadan Pahang iaitu di Cameron Highlands susulan haiwan terbabit dilihat berkeliaran di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, Ipoh, Perak dalam rakaman video yang tular, baru-baru ini.
Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak, berkata berdasarkan laporan, Unit Harimau Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak telah ke kawasan penemuan harimau terbabit.
Katanya, lokasi sebenar adalah di Ladang Agroto, Perak yang terletak berhampiran Hutan Simpan Bukit Tapah, Perak.
“Berdasarkan pemantauan terkini, tiada kelibat harimau ditemui dalam sempadan negeri Pahang di daerah Cameron Highlands,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Baru-baru ini, tular video berdurasi 17 saat menerusi aplikasi TikTok menunjukkan seekor harimau berjalan di celahan semak samun di kawasan berbukit.
Pemilik media sosial itu turut mendakwa lokasi terbabit ialah selepas Cafe Banjaran yang terletak berhampiran kawasan rehat dan rawat serta meminta orang ramai berhati-hati.- MUHAMMAD IZZ ZAHIN