Tiada kelulusan perlombongan nadir bumi di HSK Ulu Jelai kata MB

Tiada kelulusan perlombongan nadir bumi di HSK Ulu Jelai kata MB

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar Mustaffa Kamal

KUANTAN: Kerajaan negeri belum meluluskan cadangan aktiviti perlombongan logam nadir bumi lantanid di kawasan Hutan Simpan Kekal  (HSK) Ulu Jelai di Lipis.

Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail (BN-Jelai) berkata, dakwaan segelintir pihak kononnya kerja-kerja perlombongan sudah mendapat lampu hijau untuk dilaksanakan adalah tidak benar kerana syarikat pemohon aktiviti itu belum memperoleh pajakan melombong (ML).

Jelasnya, syarikat pelombong harus memenuhi dua syarat sebelum ML diluluskan bagi meneruskan kerja-kerja perlombongan di Pahang.

“Sebelum pelaksanaan atau ML diluluskan, ada dua perkara yang mesti dipatuhi… kalau tidak, tak boleh (melombong). Pertama, EIA (impak alam sekitar) dan kedua OMS (skim pengendalian melombong).

“Tanpa kedua-dua ini, mereka (syarikat perlombongan) tidak boleh dapat kebenaran. Kerajaan negeri proses (kelulusan) bergantung kepada laporan awal teknikal dan seterusnya OMS serta EIA, baru dapat sijil untuk melombong,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan oleh Sim Chon Siang (PKR-Teruntum) mengenai kelulusan perlombongan bijih besi di Tasik Chini pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, di sini, hari ini.

Tambahnya, pembangkang tidak sepatutnya mengelirukan rakyat seolah-olah kebenaran sudah diberi sedangkan cadangan perlombongan di kawasan itu masih belum mendapat kelulusan.

“Tapi kawan-kawan sebelah sana (pembangkang) menunjukkan (seolah-olah) ia telah diluluskan menyebabkan netizen, rakyat semua jadi ‘confuse’ (keliru) termasuk masyarakat Orang Asli,” katanya.

Wan Rosdy seterusnya menegaskan, walaupun ML diluluskan, kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan pertintah henti kerja terhadap syarikat perlombongan seandainya didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP). 

“Contohnya di Tasik Chini apabila ada pengendali gagal mematuhi syarat menyebabkan kerajaan negeri mengarahkan mereka menghentikan operasi,” katanya.

Terdahulu, Young Syefura Othman (DAP- Ketari) menerusi soalan bertulisnya meminta penjelasan mengenai status kawasan Rizab Biosfera Tasik Chini dan usaha-usaha dilakukan kerajaan negeri untuk memulihara kawasan itu.

Dalam jawapan balasnya, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin (BN-Lanchang) berkata kerajaan negeri sudah menghantar Penilaian Berkala kepada Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) pada 22 Disember tahun lalu untuk proses audit.  

“UNESCO mengesyorkan beberapa cadangan bagi kawasan Rizab Biosfera Tasik Chini dan kerajaan negeri sudah meluaskan kawasan rizab dan digazetkan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Chini.

“Sebelum ini terdapat enam lombong bijih besi di Chini tapi sekarang cuma dua yang masih beroperasi. Perintah henti kerja sudah dkeluarkan kepada pengendali lombong yang menceroboh kawasan biosfera yang baru dilebarkan,” katanya.