Helmy Abd Rahman
fikrahpahang@gmail.com
KUALA LUMPUR: KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berpendapat tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia buat masa ini.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata Al-Sultan Abdullah turut berpendapat bahawa tiada perlunya mana-mana Ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu-gugat kestabilan kerajaan sedia ada.
“Kendatipun begitu, Seri Paduka ingin mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala politiking yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara petang ini.
Ahmad Fadil juga memaklumkan Al-Sultan Abdullah sebelum itu berkenan memperhalusi permohonan yang telah dipersembahkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di majlis menghadap di Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang pada Jumaat lalu (23 Oktober 2020).
Permohonan itu ialah pelaksanaan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan untuk memerangi ancaman wabak COVID-19 di negara ini.
“Setelah memperhalusi permohonan dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu dan melihat situasi yang sedang dihadapi oleh negara, Al-Sultan Abdullah berasakan kerajaan sekarang berjaya menangani wabak ini dengan baik dan berkesan.
“Seri Paduka amat mempercayai keupayaan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung gejala wabak COVID-19 ini daripada terus merebak,” katanya.
Seri Paduka Baginda juga menegaskan bahawa Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentangkan di sidang Parlimen adalah amat penting kepada rakyat di dalam menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.
Justeru, titah baginda, peruntukan kewangan amat diperlukan oleh petugas barisan hadapan bagi melancarkan tugas dan tanggungjawab mereka.
“Sesungguhnya, Al-Sultan Abdullah amat prihatin terhadap kegelisahan seluruh rakyat ekoran daripada kenaikan mendadak beberapa kluster baharu dan kes positif harian COVID-19 di negara ini.
“Baginda menzahirkan keyakinan bahawa dengan semangat perpaduan dan juang yang tinggi seperti yang telah pernah dipamerkan bersama, kita mampu sekali lagi berganding bahu memerangi gelombang ketiga penularan wabak ini,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, Seri Paduka menyeru seluruh rakyat, tanpa mengira latar belakang dan khususnya fahaman politik, mengenepikan segala perbezaan dan perbalahan untuk bersatu padu dan bersatu hati memainkan peranan masing-masing dalam membantu Kerajaan dan pihak-pihak berkuasa membendung wabak COVID-19 demi keselamatan diri dan kesejahteraan negara yang kita cintai bersama ini.
“Al-Sultan Abdullah turut mengambil kesempatan ini mengajak seluruh rakyat untuk bersama Seri Paduka berdoa semoga wabak COVID-19 ini dapat dibanteras dengan berkesan dan diakhiri dengan segera,” katanya.