Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@gmail.com
KETUA jurulatih Sri Pahang FC, Dollah Salleh menerima hakikat bahawa skuadnya gagal ke suku akhir Piala Malaysia musim ini susulan tewas 1-2, di tangan Sarawak United di Stadium Darul Makmur, malam tadi.
Biarpun masih lagi berbaki satu perlawanan, skuad Tok Gajah terpaksa akur Kuala Lumpur City FC dan Sarawak United sudah mengisi dua slot dalam Kumpulan A.
“Pemain sudah memberikan persembahan yang terbaik tetapi beberapa kesilapan menyebabkan pasukan tewas hasil jaringan minit akhir perlawanan.
“Kita sepatutnya mempertahankan keputusan sebaik menjaringkan gol pendahuluan tetapi ia gagal dan lawan mengambil peluang atas kesilapan yang dilakukan,” katanya.
Pada perlawanan itu, Sri Pahang bermula garang apabila menjaringkan gol pendahuluan menerusi Kenny Athiu pada minit ke-13.
Tetapi, Sarawak United bangkit dan memastikan mereka mengutip tiga mata hasil daripada jaringan Sandro Da Silva dan Abdul Rahim Abdul Razak pada m-31 dan m-90.