Tiada lagi polisterin, dawai kokot, straw plastik

Tiada lagi polisterin, dawai kokot, straw plastik

KUANTAN: Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) tidak membenarkan lagi penggunaan bekas polisterin, dawai kokot dan straw plastik di Pasar Ramadan, Bazar Aidilfitri Lestari dan Pintar MBK 2022.

Datuk Bandar MBK, Dato’ Hamdan Hussin, berkata peniaga juga tidak lagi dibenarkan menggunakan generator.

Katanya, 1,045 peniaga Pasar Ramadan dan Bazar Aidilfitri kali ini diharap melaksanakan konsep itu sepenuhnya.

“Sekurang-kurangnya 25 lokasi diluluskan iaitu 20 lokasi Pasar Ramadan dan lima lokasi Bazar Aidilfitri.

“Tiada kenaikan kadar permit perniagaan iaitu RM180.50 bagi jualan makanan dan minuman, RM280.50 termasuk deposit bagi jualan air tebu dan kelapa dan RM300 bagi jualan pelbagai,” katanya.

Beliau berkata, waktu operasi operasi bermula dari 3 petang hingga 8 malam bagi aktiviti Pasar Ramadan manakala aktiviti Bazar Aidilfitri dari 12 tengah hari hingga 12 tengah malam.

“Semua peniaga diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN