Tiada permohonan taman tema di Cameron Highlands

Tiada permohonan taman tema di Cameron Highlands

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

TEMERLOH:  Kerajaan negeri tidak pernah menerima permohonan rasmi daripada mana-mana pihak untuk membina taman tema di Cameron Highlands. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin, berkata kerajaan akan mengkaji, termasuk mendengar pandangan rakyat jika ada permohonan. 

“Pembinaan taman tema perlu mendapat kelulusan. Sehingga ini, kita sudah ada taman tema di Genting Highlands. Kita akan kaji jika ada permohonan dan mendengar pandangan semua pihak,”  katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan kerja ke sangkar ikan patin yang terjejas akibat pembinaan jambatan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), di Kampung Tanjung Batu, di sini, semalam.

TEMERLOH..Mohd Sharkar (tiga dari kanan) bersama Norol Azali (dua dari kanan) bersama wakil agensi kerajaan ketika melakukan tinjauan di sekitar sangkar ikan patin yang terjejas akibat pembinaan jambatan ECRL di Kampung Tanjung Batu di Temerloh.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Dato’ Sri Norol Azali Sulaiman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semantan, Dato’ Nor Azmi Mat Ludin.  

Mohd Sharkar berkata, sekiranya menerima permohonan ia akan terlebih dahulu dilakukan kajian terperinci dalam memastikan kawasan peranginan yang mempunyai kira-kira 40,000 penduduk itu tidak terjejas.

Pada 4 Ogos lalu, media melaporkan satu syarikat berpengalaman 20 tahun akan membangunkan taman tema terbesar di negara ini bertempat di Cameron Highlands,  membabitkan pelaburan lebih RM100 juta.