Oleh Muhammad Izz Zahin
ikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Polis Kuantan mengesahkan taman awam di sekitar daerah ini tidak ditutup seperti yang ditularkan di aplikasi Whatsapp.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali, berkata beliau mendapatkan pengesahan daripada Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Dato’ Hamdan Hussin berhubung perkara terbabit. “Semua aktiviti riadah dan sukan di taman awam berjalan seperti biasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) Fasa
Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN). “SOP Fasa Dua dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 25 Ogos lalu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Semalam, tular di aplikasi Whatsapp yang memaklumkan aktiviti riadah dan bersukan tidak dibenarkan di tempat awam di daerah Kuantan atas arahan Datuk Bandar MBK.