Tiba-tiba berani pegang ular

Tiba-tiba berani pegang ular

KUANTAN: “Dalam masa tiga hari saja ikuti kursus, saya dah ada keyakinan berdepan dengan ular bisa seperti tedung selar dan ular senduk. 

“Sekarang saya dah boleh pegang ular walaupun masih ada juga perasaan bimbang,” kata Mazidah Mohamed, 48.

Mazidah yang bertugas di Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub berkata, sebelum ini dia amat takut dan geli melihat ular namun kini perasaan itu dapat diatasi walaupun tidak 100 peratus.

“Perasaan geli dan takut perlu dibuang kalau nak pegang ular tak kira apa jenis, sama ada berbisa atau tidak kerana sedikit kesilapan boleh mengundang padah dan yang penting, teknik memegang kepala (ular) dengan betul boleh mengelakkan kejadian buruk berlaku.

“Perlu juga menggunakan alat penyepit dengan betul bagi memastikan reptilia ditangkap tidak terlepas dan menyerang,” katanya yang ditemui ketika menyertai Kursus Pengendalian Binatang Berbisa di Pusat Latihan Perhutanan Pahang (PLPP) Belimbing di sini, semalam.

Kursus tiga hari itu mendapat bimbingan jurulatih kursus pengendalian haiwan berbisa Akademi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Wilayah Timur di Wakaf Tapai, Marang Terengganu, Safiq Mohamad disertai 20 kakitangan JPNP termasuk lima wanita.

Program membabitkan teori dan latihan amali antaranya berkaitan cara menangkap, teknik memegang dan tindakan awal jika dipatuk ular berbisa.

Mazidah berkata, kakitangan JPNP perlu memiliki kemahiran berdepan ular berbisa seperti tedung selar bagi membantu ketika berlaku kecemasan ketika bertugas dalam hutan.

Bagi Samuri Idrus, 55, kursus disertai memberikan semangat dan keyakinan terhadap kemampuan menangkap dan memegang ular jika terserempak haiwan berbisa itu.

“Saya seperti tidak percaya apabila boleh menangkap dan memegang ular ketika latihan amali diadakan dengan sokongan jurulatih.

“Sebelum ini, saya takut dan geli dengan ular, tetapi sekarang perasaan itu hilang. Bagaimanapun demi keselamatan, saya tidak akan cuba berdepan dengan ular berbisa kecuali terpaksa,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD