Tiba-tiba jadi pendiam

Tiba-tiba jadi pendiam

KUANTAN: “Biasanya dia periang dan banyak cakap, tapi entah kenapa dua tiga hari (kebelakangan) sebelum kejadian, dia jadi pendiam,” kata Armah Abdul Karim, 66, dari Kampung Beserah di sini.

Armah ialah ibu kepada nelayan, Fadzely Mohamed, 40, yang dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaiki bersama rakannya terbalik akibat tersangkut pada tali bot pukat tunda di perairan Karang Tanjung Pelindung di sini Sabtu lalu.

Armah berkata, pada pagi hari kejadian, Fadzely yang juga anak ketiga daripada sembilan beradik, hanya sempat memberitahunya bahawa dia hendak ke laut bersama rakannya.

“Biasanya dia agak riuh tapi beberapa hari sebelum kejadian, dia banyak berdiam diri sehinggalah pagi sebelum bot dinaikinya terbalik.

“Saya reda dengan apa yang terjadi tetapi hati kecil saya kuat berasakan dia masih lagi hidup,” katanya kepada Fikrah Pahang ketika ditemui di rumahnya di Kampung Beserah di sini, malam ini.

Sementara itu, bapa mangsa Mohamed Abas, 70, berkata sebelum ini anaknya itu sering ke laut bersamanya dengan menaiki bot sendiri.

“Tapi disebabkan saya sakit kaki, saya suruh dia tumpang dahulu rakannya sementara saya pulih seperti sediakala. Tak sangka pula kejadian ini berlaku,” katanya sebak.  

Mengikut laporan portal Sinar Harian hari ini, dalam kejadian jam 6.20 petang itu, Fadzely hilang di laut manakala rakannya, Abdul Mutalib Abdul Rahman, 38, dapat diselamatkan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata berdasarkan maklumat awal, mangsa bersama pengadu keluar memancing kira-kira jam 7 pagi dengan menaiki sebuah bot gentian kaca.

Katanya, ketika dalam perjalanan pulang pada jam 6.20 petang hari sama, bot dinaiki mereka kehabisan minyak.

“Selesai mengisi minyak dan mula untuk bergerak kembali, kipas enjin bot dikatakan terkena tali keroncong sebuah bot pukat tunda yang sedang menunda pukat di kawasan perairan itu.

“Ekoran kejadian itu, bot dinaiki mereka terbalik menyebabkan kedua-duanya jatuh ke dalam laut dan tenggelam di bawah bot,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN