PENYERANG berpengalaman Sri Pahang FC, Abdul Malik Mat Ariff tidak pandang rendah keupayaan skuad Projek FAM-MSN apabila kedua-dua pasukan bertemu pada pusingan kedua Piala FA di Stadium Darul Makmur, malam esok.
Justeru, pemain kelahiran Kuantan itu berkata, Sri Pahang akan tampil lebih padu terutama di bahagian serangan untuk menyekat skuad yang dibarisi pemain muda itu.
Katanya, aksi perlawanan menentang Manjung City FC pada pusingan pertama piala itu pada 23 Mac lalu, perlu dijadikan pengajaran.
“Pada perlawanan itu, Manjung City hampir menewaskan kami apabila berjaya mengheret perlawanan ke penentuan penalti yang menyaksikan Sri Pahang menang 5-4.
“Sebab itu, kami kekal fokus sepanjang perlawanan dan memanfaatkan segala peluang yang ada untuk menewaskan skuad Projek FAM-MSN malam esok,” katanya.- MUHAMMAD IZZ ZAHIN