Tidak serik tiga kali dikejar gajah liar

Tidak serik tiga kali dikejar gajah liar

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad

TEMERLOH: Tiga kali berdepan detik cemas dikejar gajah ketika operasi menjejak sekumpulan haiwan liar itu dalam hutan di Johor 12 tahun lalu antara pengalaman tidak mungkin dilupakan.

  Pengalaman mencabar itu ternyata mematangkan renjer Zamrie Zoo, 46, yang kini menjangkau 23 tahun berkhidmat dengan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK), Kuala Gandah, Lanchang.

Renjer Zamrie Zoo (tengah) turut sama membantu kerja memindahkan gajah liar yang ditangkap oleh Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK), Kuala Gandah, Lanchang.

  Dia yang berasal dari Merapoh, Lipis, sebelum ini pernah bertugas di Taman Negara Merapoh, selama tiga tahun sebelum ditukarkan ke PKGK sebagai ‘mahut’ atau gembala gajah denak yang digunakan dalam operasi memindahkan gajah liar di Semenanjung.

  Katanya, mendaki bukit dan merayau dalam hutan menjejak gajah liar antara cabaran tidak kurang hebat selama 15 tahun bertugas sebagai penembak ubat bius gajah liar sebelum operasi memindahkan haiwan berkenaan dilakukan.

  Katanya, tersilap langkah gajah yang diekori akan menyerang apabila berasakan dirinya terancam, justeru, tumpuan dan langkah keselamatan perlu sentiasa diberikan perhatian bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

  “Episod menggerunkan apabila tiga kali dikejar gajah liar di hutan Johor sebelum ini tidak mungkin dapat dilupakan sampai bila-bila. Dalam keadaan cemas saya sempat melarikan diri dan sembunyi di sebalik pokok besar.

  “Kerjasama dalam pasukan amat penting sepanjang menjalankan tugas menjejak kumpulan gajah liar, semua langkah keselamatan perlu diberi perhatian supaya misi menangkap haiwan berkenaan mencapai kejayaan,” katanya.

  Zamrie berkata, tembakan hanya boleh dilakukan apabila berada pada kedudukan selesa dengan berselindung di sebalik pokok dan jarak dengan gajah liar tidak boleh terlalu hampir kerana haiwan berkenaan mempunyai deria bau yang kuat.

  Katanya, sebelum menembak gajah liar dengan ubat bius, beberapa langkah perlu dipatuhi antaranya kedudukan haiwan itu dengan pokok bersaiz besar yang akan digunakan untuk mengikat gajah selain hampir dengan jalan.

  Katanya, sukatan ubat bius juga perlu dipastikan mencukupi bagi memastikan haiwan itu rebah seterusnya pengsan dalam masa 15 hingga 20 minit selepas ditembak dan dalam tempoh itu proses mengikat kaki depan gajah pada pokok bersaiz besar perlu dilakukan segera.

  “Sukatan ubat bius mengikut saiz gajah dan tembakan jarum hanya ditujukan pada bahagian bahu atau punggung haiwan itu, ketelitian dan tumpuan perlu ada ketika menembak bagi mengelak tersasar.

  “Walaupun lebih 15 tahun pengalaman bertugas sebagai penembak bius gajah liar, tidak dinafikan perasaan berdebar tetap ada ketika menjalankan tugas kerana sedikit kesilapan akan mengundang banyak masalah,” katanya.