Oleh Fath Ahnaf
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Tiga beranak rugi lebih RM11,000 selepas menjadi mangsa panggilan ‘scammer’ dalam kejadian di Mentakab, Temerloh.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian berkenaan daripada seorang daripada ahli keluarga itu, petang semalam.
“Menurut laporan, pengadu lelaki yang juga penuntut universiti awam berusia 24 tahun menerima mesej melalui Whatsapp daripada adik perempuannya berusia 22 tahun, pada Rabu lalu.
“Adiknya meminta RM2,511 daripada ibu mereka untuk bayaran sewa rumahnya di Kuala Lumpur selepas menerima panggilan daripada pengurus tempatnya bekerja,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Katanya, pengadu kemudian membuat tiga kali pemindahan wang ke akaun yang diberikan oleh adiknya berjumlah RM6,847.
“Adik pengadu menghubungi lagi ibu mereka dan meminta wang lagi atas alasan sama, pada 4.50 petang, hari yang sama. Wanita berkenaan membuat pemindahan RM4,336 ke akaun sama di bank di bandar Mentakab.
“Pada 12.12 tengah malam semalam, pengadu dimaklumkan oleh ibunya bahawa wang yang mereka masukkan ke akaun berkenaan bukan untuk bayaran sewa penginapan sebaliknya adiknya kena ‘scam’,” katanya.