Tiga bot nelayan asing jadi tukun di Tioman

Tiga bot nelayan asing jadi tukun di Tioman

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@gmail.com

ROMPIN: Tiga bot nelayan asing yang dirampas sekitar 2020 ditenggelamkan di kawasan dua batu nautika dari perairan Pulau Tioman, di sini, hari ini.

Semua bot yang dianggarkan bernilai RM4.5 juta termasuk peralatan itu dilupuskan untuk dijadikan tukun tiruan bagi menggalakkan biodiversiti marin.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Madya Maritim Kamaruszaman Abu Hassan berkata, tiga bot dikesan ketika menceroboh perairan Pahang tahun lalu.

Katanya, ini kali pertama pihaknya menenggelamkan bot nelayan asing menjadi tukun tiruan di Pulau Tioman dan usaha itu mendapat kerjasama Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT) dan Jabatan Perikanan Pahang.

“Tukun tiruan berkenaan akan menjadi habitat baharu ekosistem marin dan sebagai peranti pemuliharaan biodiversiti marin. Ia juga menjadi tempat perlindungan dan sumber makanan kepada hidupan laut.

“Kita sentiasa berusaha memastikan perairan negara selamat kepada komuniti maritim dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya.

Program melupuskan tiga bot nelayan asing dijadikan tukun tiruan di Pulau Tioman hari ini dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Mohd Johari Hussain.