PASUKAN angkat berat Pahang menamatkan saingan Kejohanan Angkat Berat Remaja Senior Kebangsaan Sarawak 2022 dengan pencapaian memberangsangkan apabila meraih tiga emas, dua perak dan dua gangsa.
Ketua jurulatihnya, Zainuddin Josef, berkata kejohanan pemanas badan itu dianggap berjaya sebelum atlet bertanding pada Sukma 2022 di Kuala Lumpur, September ini.
“Kita ke Sarawak bersama 11 atlet dan meletakkan sasaran dua emas dan tiga gangsa namun di akhir kejohanan pasukan mendapat tiga emas, dua perak dan dua gangsa, satu pencapaian membanggakan.
“Pencapaian pada Kejohanan Angkat Berat Remaja Senior Kebangsaan Sarawak 2022 menjadi kayu pengukur kepada persiapan mengharungi saingan Sukma 2022,” katanya, di sini, hari ini.
Beliau menambah, pasukan angkat berat Pahang ingin mencatat keputusan terbaik pada Sukma 2022.
“Persiapan berterusan yang dilakukan menjadi senjata atlet lelaki dan wanita Pahang,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD