Tiga koperasi di Temerloh labur dalam industri ternakan ruminan

Tiga koperasi di Temerloh labur dalam industri ternakan ruminan

TEMERLOH: Tiga koperasi bawah Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) yang beroperasi di daerah ini menjalinkan kerjasama dengan Biovet International Sdn Bhd iaitu syarikat dalam industri ternakan ruminan.

Koperasi terbabit ialah Koperasi Bimbingan Ihsan Temerloh Berhad (KOBI), Koperasi Guru-Guru Lepasan Maktab Temerloh Berhad (KOGURU) dan Koperasi Keluarga Haji Mohd Ilyas (KOPMAI).

Presidennya, Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah, berkata langkah kerjasama terbabit adalah  tepat pada masanya dan diharap dapat menyumbang untuk meningkatkan tahap kecukupan diri (SSL) bagi daging ruminan negara. 

Katanya, Biovet International menyediakan pusat penternakan berbentuk hotel 

di Kuala Tekal, Kuala Krau, yang kini memiliki hampir 600 biri-biri pelbagai jenis baka hasil daripada 345 peserta di seluruh negara. 

Menurutnya, antara biri-biri yang dipelihara di hotel veterinar itu adalah daripada baka tempatan seperti Indugenes dan luar negara seperti Damara, Santa Iness, Longtail, Dopper dan Black Belly.

“Ketika ini, industri daging negara hanya menyumbang sekitar 22.3 peratus dan  disasarkan untuk ditingkatkan kepada 50 peratus menjelang 2030.

“Pengeluaran daging tempatan masih tidak mencukupi dan masih bergantung kepada import bagi memenuhi keperluan domestik. Hampir 70 peratus daging kambing di pasaran tempatan diimport dari Australia manakala daging lembu pula diimport dari India,” katanya pada majlis penyerahan 83 biri-biri kepada tiga koperasi itu. 

Hadir sama Pengarah Operasi Biovet International, Sharifah Hafidha Syed Omar dan  Pegawai Penyelia Koperasi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Temerloh,  Mohd Hafizu Sulaiman. 

Untuk rekod, Hotel Veterinar Biovet mula ditubuhkan pada 2019 di Kuala Tekal dan kini syarikat itu sudah mempunyai 17 ladang dan lebih daripada 900 biri-biri di seluruh negara. – MUHAMMAD NAJMIE