Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@gmail.com
KUANTAN: Tiga lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan, di sini, hari ini, atas pertuduhan mengambil 43 tual balak di Kampung Perlak, Mukim Penyor, Pekan, tanpa lesen pada 21 Oktober lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Muhamad Saffrin Ahmad, 36, Ahmad Mustaim Muhamad, 30 dan Muhammad Taufik Hidayah Talib, 39, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu di hadapan Hakim Shahrul Rizal Majid.
Mereka didakwa secara bersama-sama didapati mengambil hasil hutan iaitu 43 tual balak di tanah Kerajaan Pahang tanpa lesen.
Perbuatan itu didakwa dilakukan oleh mereka di Kampung Perlak, pada 3.30 petang, 21 Oktober lalu.
Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] yang diterima pakai oleh Pahang mengikut Enakmen Perhutanan Negara (Negeri-negeri Malaysia) (Pemakaian) 1986 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(2) Enakmen yang sama dan dibaca bersama-sama seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Kesalahan ini memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM 500,000 dan dipenjarakan tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi 20 tahun, jika didapati bersalah.
Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya dari Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Afidatul Azwa Kamarulanuar, menawarkan jaminan RM20,000 setiap tertuduh dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam yang mewakili kesemua tertuduh, Mohd Faizal Hiqram Azmi meminta agar mahkamah mengurangkan wang jaminan.
Mohd Faizal dalam hujahnya meminta pengurangan itu atas alasan anak guamnya mempunyai tanggungan iaitu isteri dan anak serta mempunyai pendapatan sekitar RM1,500.
Mahkamah kemudian membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi setiap seorang dan kes disebut semula 18 November depan.