Tiga lokaliti di Bentong dan Lipis kena PKPD

Tiga lokaliti di Bentong dan Lipis kena PKPD

Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

Gambar hiasan

KUANTAN: Tiga lokaliti, masing-masing dua di Bentong dan satu Lipis dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Sabtu ini hingga 13 Ogos depan.

Menteri Kanan Luar Negeri (Keselamatan) Dato’ Sri Hishammuddin Hussein berkata, lokaliti terbabit ialah Apartment Amber Court dan Tapak Bina Grand Ion Delemon, Genting Highlands di Bentong.

Katanya, di Lipis pula membabitkan FELDA Sungai Koyan 3, Mukim Ulu Jelai.

“Keputusan ini diambik selepas meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, selain Pahang, pelaksanaan itu membabitkan tujuh lokaliti di Sabah, Perak (empat lokaliti), Kelantan (dua lokaliti) dan masing-masing satu lokaliti di Terengganu serta Kedah.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi perkongsian infografik di Facebooknya memaklumkan Pahang merekodkan 638 kes, hari ini.

Untuk rekod, kes di Pahang menunjukkan peningkatan hari ini berbanding  429 kes dilaporkan semalam.