Tiga mata bertuah

Tiga mata bertuah

TUAH jelas berpihak kepada Sri Pahang FC ketika menewaskan Selangor 2-0, di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi.

Ia diakui ketua jurulatih Sri Pahang, Dollah Salleh yang gembira walaupun skuad bimbingnya itu tidak beraksi pada tahap terbaik.

Namun, katanya, Sri Pahang sudah menamatkan rekod lima perlawanan berturut-turut tanpa kemenangan yang dialami sebelum ini termasuk tewas kepada Penang FC pada aksi suku akhir Piala FA.

“Bagi saya tuah milik kita kerana Sri Pahang tidak bermain dengan baik tetapi mampu mencatat kemenangan ke atas Selangor.

“Saya puji persembahan pemain yang kekal bertahan dan menjaringkan dua gol bagi memastikan tiga mata menjadi milik pasukan,” katanya.

Pada perlawanan itu, dua gol skuad Tok Gajah, masing-masing satu dijaringkan oleh Steven Rodriguez dan Abdul Malik Mat Ariff pada minit ke-34 dan 39.

Kemenangan itu juga melonjakkan Sri Pahang ke kedudukan kesembilan liga berbanding ke-11 sebelum ini.- MUHAMMAD IZZ ZAHIN