Oleh Izzah Yusoff
am@fikrahpahang.com.my
Gambar ihsan AADK
KUANTAN: Tiga wanita antara 195 orang yang ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam Operasi Perdana 1 bermula Ahad lalu dan berakhir malam tadi.
Operasi serentak di seluruh Pahang itu diketuai sendiri oleh Pengarah AADK negeri, Zirwatul Ahlam Zamzam.

Zirwatul berkata, operasi itu adalah siri pertama tahun ini yang memberi tumpuan kepada lokasi panas yang sudah dikenal pasti pihak AADK, antaranya Kuala Kuantan, Kuala Pahang dan Pahang Tua di daerah Pekan.
“Kita menahan 195 suspek yang mana 168 termasuk tiga wanita terbabit positif dadah pelbagai jenis,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Menurutnya, kes positif dikesan membabitkan penyalahgunaan dadah jenis methamphetamine sebanyak 134 kes dan 34 kes lagi membabitkan jenis opiat.
“AADK juga merampas pelbagai jenis dadah dalam operasi selama lima hari ini dan antara dirampas ialah 91 biji pil kuda, 41.92 gram (g) syabu dan heroin (5.55g),” katanya.
Katanya lagi, pihaknya juga menyerahkan 20 suspek kepada pihak polis kerana mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952; Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan lapan kes disenaraikan sebagai orang dikehendaki.
“Operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai usaha AADK menjayakan sasaran dadah terkawal di Malaysia menjelang 2025,” katanya.