KUANTAN: Timbalan Menteri Kewangan I, Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah mengetuai penerimaan pangkat pada Majlis Penganugerahan Pangkat Kehormat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), di sini, semalam.
Pada majlis itu, Mohd Shahar menerima pangkat Timbalan Pesuruhjaya Bomba (Kehormat) daripada Ketua Pengarah JBPM, Dato’ Sri Mohamad Hamdan Wahid.
Turut menerima pangkat Timbalan Pesuruhjaya Bomba Kehormat ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Dato’ Abd Aziz Mat Kiram; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Pahang, Dato’ Nazri Ngah dan Pegawai Kewangan Pahang, Dato’ Nazri Abu Bakar.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin; Setiausaha Sulit Khas Sultan Pahang, Tok Aria Ratna Ahmad Norbadelin Abd Murad dan Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang, Sharudin Hamid, masing-masing menerima pangkat Penolong Pesuruhjaya Bomba (Kehormat) – MUHAMMAD IZZ ZAHIN