Tindakan Ku Li perkara biasa, kata Sharkar

Tindakan Ku Li perkara biasa, kata Sharkar

Oleh Husin Ibrahim

fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Peletakan jawatan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO bukan perkara luar biasa dalam parti.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin, berkata keahlian Tengku Razaleigh tidak terjejas dengan langkah diambilnya itu. 

Malah, katanya, Tengku Razaleigh sememangnya dikenali sebagai individu yang sering mengambil pendekatan berkecuali membabitkan beberapa perkara tertentu.

“Saya pun baca ucapan beliau (Tengku Razaleigh) di Parlimen semalam (Selasa) dan kita hormati pandangan itu. Soal jawatan letak jawatan itu biasalah, macam dulu pun ada yang letak jawatan… contohnya(Dato’ Sri) Shamsul (Annuar Nasarah) pun letak jawatan sebagai menteri sebelum ini.

“Ia berkaitan dengan prinsip, kita hormati prinsip beliau (Tengku Razaleigh) dan kalau tidak setuju, letak jawatanlah, ia perkara biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu peletakan jawatan Tengku Razaleigh, hari ini.

Sebelum ini, Tengku Razaleigh dilaporkan meletak jawatannya  susulan kecewa dengan UMNO yang memberi sokongan kepada kerajaan sekarang.

Surat peletakan jawatan Ahli Parlimen Gua Musang itu dikatakan sudah diserahkan kepada Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, pada Isnin lalu.

Mengenai ulasan Tengku Razaleigh berhubung UMNO lama dan baharu, Mohd Sharkar menegaskan perkara itu tidak seharusnya ditimbulkan.

“Mana ada UMNO lama, UMNO baharu… kalau kita lihat Presiden masih (Dato’ Seri) Zahid Hamidi, Timbalan (Presiden) masih Tok Mat (Dato’ Seri Mohamad Hasan) dan begitu juga Naib Presiden masih lagi Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri (Yaakob), (Dato’ Seri) Mahdzhir Khalid dan (Dato’ Seri) Khaled Nordin.

“Tidak ada pun UMNO baharu, UMNO lama… ini persepsi dimainkan oleh media dan orang ramai. Apapun, kita hormati Tengku Razaleigh sebagai orang lama dalam parti,” katanya.