TEMERLOH: Sudah sampai masanya kerajaan melaksanakan kaedah secara holistik dan menyeluruh untuk mengelak kawasan tertentu di Pahang daripada kerap dilanda banjir.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, sudah banyak pengalaman pahit ketika banjir yang memberi pengajaran.
Mohd Sharkar berkata, antara kaedah adalah memindahkan penduduk di kawasan tebing sungai ke satu lokasi lebih selamat dan jauh daripada banjir seperti yang pernah dilakukan sekitar 1970.
“Mungkin juga boleh bina tebatan banjir, mendalamkan sungai dan menyediakan kawasan takungan air,” kata Mohd Sharkar selepas mengiringi wakil Kedutaan Jepun, Hosomi Masashi untuk menyampaikan bantuan kepada 24 mangsa banjir di sekitar Temerloh dan Mentakab, di Kampung Stay Desa Murni, di sini, semalam.
Turut hadir Fukazawa Shinsaku dan Hayashi Etsuko daripada Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (Japan International Cooperation Agency) serta Presiden Alumni Persahabatan Program Untuk Abad 21 Asean-Japan, Malaysia (PAMAJA), Dato’ Sahariman Hamdan.
Mohd Sharkar berkata, jalan raya dan lebuh raya yang menjadi penghubung utama antara sesuatu tempat ke tempat yang lain perlu ditinggikan agar tidak ditenggelami air dan menjadi penyebab terputus hubungan itu.
“Di Kilometer 113 di Lebuh Raya Pantai Timur di kawasan Lanchang, Temerloh, contohnya boleh ditambah baik dengan meninggikan laluan di kawasan kerap tenggelam ketika musim banjir.
“Perkara seperti ini pernah dicadangkan sebelum ini. Namun, belum ada tindakan sewajarnya yang diambil,” katanya.
Beliau berkata, kawasan penduduk di Kampung Batu Kapur dan bandar Mentakab sebagai contohnya juga boleh diselamatkan daripada banjir sekiranya dibina tebatan di sekitar tebing sungai berdekatan.
Menurutnya, cadangan itu adalah antara contoh pengurusan banjir yang boleh difikirkan seperti yang sudah dilakukan di negara lain seperti di Belanda dan Venice, Itali. – HUSIN IBRAHIM