ROMPIN: Sektor pelancongan di Pulau Tioman kini kembali rancak dengan kehadiran ramai pelancong tempatan dan asing selepas sempadan negara dibuka, pada 1 Jun lalu.
Kehadiran pelancong bertambah dua hingga tiga kali ganda terutama di Kampung Paya, Kampung Juara dan Kampung Genting.
Ketua Kampung Juara, Razib Ali Awang berkata permintaan terhadap penginapan juga bertambah.
Menurutnya, hampir setiap hari pelancong berkunjung ke Pulau Tioman untuk bercuti terutama selepas dua tahun tidak dapat melancong berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Pengusaha pelancongan di Pulau Tioman kini lega apabila melihat peningkatan kehadiran pelancong.
“Saya berharap sektor pelancongan di Pulau Tioman kembali meriah seperti sebelum ini,” katanya, di sini, hari ini. – MOHD IMRAN IZZAD