Tioman, Genting kena tunggu sekejap

Tioman, Genting kena tunggu sekejap

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@gmail.com

ROMPIN: Kebenaran melancong ke Pulau Tioman dan Genting Highlands yang dijangka bermula 1 Oktober ini, ditangguhkan kepada satu tarikh baharu yang masih belum diputuskan.

Bernama menerusi portal beritanya dipetik sebagai berkata, Pengurus Besar Tourism Pahang, Kamaruddin Ibrahim menjelaskan tarikh baharu pembukaan lokasi pelancongan akan dimaklumkan nanti.

Katanya, penangguhan itu susulan kenyataan YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, yang memaklumkan pembukaan pusat, pulau dan kawasan pelancongan serta aktiviti rentas negeri hanya dibolehkan apabila kadar vaksinasi negara mencapai 90 peratus populasi dewasa. 

Mengikut data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV), kadar vaksinasi lengkap penduduk dewasa Malaysia adalah 84.4 peratus, pada 27 September 2021. 

“Sehubungan itu, hanya penduduk Pahang dibenarkan berkunjung ke destinasi pelancongan di negeri ini dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat.

“Bagi pelancong luar Pahang yang sudah membuat tempahan, kami minta mereka hubungi pengusaha pelancongan masing-masing untuk tindakan lanjut, sama ada tangguh atau sebagainya,” katanya.

Baru-baru ini, media melaporkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mencadangkan Tioman, Genting dan Melaka dibuka selepas kejayaan projek rintis Pulau Langkawi, Kedah.

Mengenai pelaksanaan SOP di Tioman, Kamaruddin berkata, antara SOP yang dikenakan ialah pengunjung mesti lengkap dua dos vaksin dan mengemukakan keputusan ujian saringan Covid-19 masing-masing sebelum menaiki feri.