Tioman sudah ada Internet berkelajuan tinggi

Tioman sudah ada Internet berkelajuan tinggi

ROMPIN: Tioman kini menikmati Internet berkelajuan tinggi dan stabil apabila pemasangan rangkaian gentian optik di Kampung  Salang, Paya dan Genting di pulau peranginan itu sudah siap dilaksanakan. 

Kemudahan itu secara langsung memberi manfaatkan kepada seribu kediaman dan premis komersial di Kampung Salang, Paya, Genting, Tekek, Air Batang dan Juara. 

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, perkembangan itu adalah sebahagian daripada pelaksanaan Jendela di Rompin yang meletakkan sasaran 4,937 premis disambung dengan rangkaian gentian optik menjelang hujung tahun ini.

“Kita merancang membina 32 menara telekomunikasi baharu. Daripada jumlah itu, empat menara sudah siap iaitu di Felda Selancar Tiga, Felda Keratong Lima, Mekassar Estate dan Ladang Sungai Seraya,” katanya. 

Katanya, baki 28 menara kini dalam pelbagai peringkat pelaksanaan dan akan siap sepenuhnya pada penghujung tahun ini. 

Mohammad Fakhruddin berkata, bagi projek menaik taraf stesen pemancar ke rangkaian 4G pula membabitkan 121 stesen pemancar dengan 93 daripadanya sudah siap dinaik taraf manakala baki 28 dijangka siap pada penghujung Mac ini.

Beliau berkata, kampung Orang Asli di Rompin juga tidak ketinggalan dalam pelaksanaan Jendela membabitkan penyediaan Internet menggunakan teknologi satelit di Kampung Bukit Lepas dan Banai manakala kemudahan di Kampung Tanah Runtuh dijangka siap hujung Mac ini.

Mohammad Fakhruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar berkata, dengan banyak inisiatif Jendela sudah siap, kadar liputan 4G untuk daerah Rompin  kini naik daripada 66.9 kepada 88.07 peratus. – MUHAMMAD NAJMIE