Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@gmail.com
KUANTAN: Jabatan Perikanan Pahang menasihati penternak akuakultur supaya membuat persediaan awal bagi menghadapi musim tengkujuh.
Pengarahnya, Abdullah Jaafar berkata, antara langkah perlu diambil ialah dengan menjual ikan yang mencapai saiz pasaran dan mengosongkan sangkar.
Menurutnya, penternak juga perlu sentiasa memantau projek dengan lebih kerap agar tindakan segera boleh diambil sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.
“Penternak juga perlu memeriksa struktur binaan sangkar termasuk ikatan, bagi mengelak dihanyutkan arus deras air sungai terutama apabila banjir besar berlaku.
“Penternak perlu mengikat sangkar menggunakan kabel dan tali berkualiti tinggi yang tidak mudah putus. Ikat pada pokok besar di tepi sungai,” katanya.
Beliau berkata, penternak perlu sentiasa berhubung dengan Pejabat Perikanan Daerah bagi mendapatkan khidmat nasihat dan maklumat keadaan semasa.
Selain itu, katanya, mereka juga perlu memantau jadual keadaan cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).
Abdullah berkata, nelayan pantai juga tidak digalakkan untuk turun ke laut sepanjang musim tengkujuh.
“Keadaan cuaca yang tidak menentu sepanjang musim tengkujuh amat bahaya terutama pada nelayan pantai yang menggunakan bot bersaiz kecil,” katanya.