Titik hitam sejarah demokrasi Malaysia – Tok Mat

Titik hitam sejarah demokrasi Malaysia – Tok Mat

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: “Ini adalah titik hitam dalam sejarah demokrasi berparlimen Malaysia,” demikian reaksi Timbalan Presiden UMNO, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan.

Beliau berkata demikian berikutan tindakan Kerajaan membatalkan Ordinan Darurat dengan membelakangkan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah apabila tidak terlebih dahulu mendapat perkenan Baginda.

“Tindakan Kerajaan, khususnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dan Peguam Negara, telah mengundang murka KDYMM Tuanku.

“Mereka tidak melaksanakan titah baginda supaya cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen.

“Institusi Parlimen telah tercemar dengan tindakan tidak bertanggunjawab ini dan peristiwa ini adalah titik hitam dalam sejarah demokrasi berparlimen Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam hantaran di laman Facebook rasminya, hari ini.

Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu lagi, sehubungan itu, mereka yang berkaitan harus mengambil tanggungjawab dan meletakkan jawatan segera.