TNB beri bantuan persekolahan buat 1,254 murid di Pahang

TNB beri bantuan persekolahan buat 1,254 murid di Pahang

ROMPIN: Sekurang-kurangnya 1,254 murid di lapan daerah di Pahang menerima bantuan persekolahan bernilai RM230,600 yang disediakan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Setiap murid murid menerima barangan keperluan seperti pakaian seragam, kasut, beg dan alat tulis yang bernilai RM200.

Pengerusi TNB, Dato’ Sri Hasan Arifin berkata, setiap tahun TNB menyediakan pelbagai bantuan pendidikan dalam memastikan generasi muda tidak yang tercicir.

Menurutnya, TNB menyediakan peruntukan lebih RM10.5 juta bagi menjayakan program ‘Back to School’ sepanjang sembilan tahun sejak 2013. 

“Bagi 2022, kita menyediakan peruntukan kira-kira RM1 juta lagi meneruskan program tanggungjawab sosial korporat membabitkan 55 kawasan di seluruh negara.

“Bantuan yang diberikan diharap dapat meringankan beban keluarga berpendapatan rendah di seluruh negara,” katanya pada Program Ceria Ke Sekolah (CKS) TNB 2022 peringkat Pahang di Dewan Telok Gading Tanjung Gemok, di sini, hari ini.

Turut sama Pengurus Besar TNB Negeri Pahang Datuk Baderul Sham Saad.

Hasan yang juga Ahli Parlimen Rompin berkata, TNB sentiasa mengadakan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat untuk membantu rakyat. – MOHD IMRAN IZZAD