BENTONG: Tenaga Nasional Berhad (TNB) memenuhi lima permintaan yang mahukan kenderaan terpakai pihaknya sepanjang tujuh tahun kebelakangan ini.
Bagi memenuhi permintaan itu, TNB akan membaik pulih semua kenderaan berkenaan sehingga kelihatan baharu.
Antara sumbangan kenderaan terpakai itu membabitkan dua kenderaan pacuan empat roda dan tiga van jenazah.
Pengurus Besar TNB Pahang, Dato’ Baderul Sham Saad berkata, sumbangan kenderaan terpakai itu adalah tanggungjawab sosial korporat pihaknya kepada masyarakat.
Katanya, TNB mengeluarkan perbelanjaan lebih RM35,000 untuk membaiki setiap kenderaan terbabit.
“Kenderaan TNB yang hendak diberikan itu akan melalui proses baik pulih. Ia membabitkan kerja membaiki enjin, menukar tayar, menggantikan alat yang sudah lusuh dan mengecat semula,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Kenderaan Pacuan Empat Roda (4X4) kepada Pasukan Bomba Sukarela Janda Baik, di sini, hari ini.
Baderul Sham berkata, TNB akan menyerahkan van jenazah kepada masjid Felda Keratong 10, Rompin, minggu depan. – MOHD IMRAN IZZAD