Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang&fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Pemain pertahanan Sri Pahang FC, Mohd Faisal Rosli akan memanfaatkan bimbingan ketua jurulatih, Thomas Dooley sebagai persediaan menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Mohd Faisal atau lebih mesra dengan panggilan Tocang berkata, pengalaman Dooley yang juga bekas pemain antarabangsa akan meningkatkan lagi prestasinya bersama rakan sepasukan.
Katanya, segala tunjuk ajar dan arahan diberi jurulatih itu memberi pengalaman baharu untuk tampil dengan lebih yakin dalam usaha membantu pasukan melakar kejayaan.
“Saya lihat tahap kecergasan dan kemahiran dalam mengawal bola diberi tumpuan untuk memastikan semua pemain sentiasa bersedia daripada segi mental dan fizikal
“Oleh itu, diharapkan Sri Pahang FC melakar kejayaan terbaik dalam saingan Liga M musim ini berdasarkan komitmen tinggi pengurusan Sri Pahang,” katanya.
Mengulas sesi latihan sepanjang tempoh Perintah Kawalan pergerakan (PKP), Mohd Faisal berkata, larian sejauh lapan hingga 10 kilometer sehari dilakukan dalam mengekalkan kecergasan.
“Setakat ini, saya tidak berdepan masalah dan mengikut segala arahan ditetapkan untuk memastikan semua pemain berada dalam keadaan cergas.
“Latihan yang memberi tumpuan kepada larian sejauh lapan hingga 10 kilometer dilakukan pada sesi pagi manakala latihan melalui ‘Google Meet’ lebih kepada kecergasan pada sesi petang,” katanya.