Tok Gajah mahu Penyu menangis

Tok Gajah mahu Penyu menangis

SRI Pahang mahu memanfaatkan kelebihan beraksi di halaman sendiri apabila berdepan Terengganu FC (TFC) pada perlawanan pertama Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, malam esok.

Kapten Tok Gajah, Muslim Ahmad, berkata skuad itu sudah bersedia untuk menewaskan naib juara Liga Super berkenaan.

“Tiada yang mustahil untuk menang ke atas Terengganu, biarpun dua rekod pertemuan musim ini lebih berpihak kepada mereka.

“Tapi, saya percaya peningkatan prestasi yang dipersembahkan pada dua perlawanan terakhir Liga Super memberi suntikan semangat untuk membawa pasukan melangkah lebih jauh dalam saingan Piala Malaysia,” katanya di Kuantan, hari ini.

Menurutnya, fokus utama pasukan ialah mencatatkan kemenangan sebagai bekalan pada perlawanan kedua pada 1 November depan.

Muslim yang juga pemain pertahanan berkata, kekuatan utama skuad Penyu ialah di bahagian tengah.

“Namun saya yakin, dengan komitmen tinggi dipersembahkan, kami dapat menyekat Terengganu daripada beroleh kemenangan,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN