ROMPIN : Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), hari ini.
Calon BN, Dato’ Sri Mohd Johari Hussain memperoleh 8,080 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Nor Idayu Hashim dengan majoriti 573 undi.
Nor Idayu mendapat 7,507 undi manakala calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Fadzli Mohd Ramly yang sebelum ini mengumumkan menarik diri mendapat 784 undi.
Dua lagi calon, Osman Bakar daripada Pejuang dan Sulaiman Bakar (Bebas) hilang wang pertaruhan.
Osman mendapat 79 undi manakala Sulaiman pula hanya memperoleh 58 undi.
Keputusan pilihan raya DUN Tioman itu menyaksikan BN Pahang kini memiliki 17 kerusi DUN, menyamai jumlah kerusi DUN dimenangi PN Pahang dalam PRU15.
PRU15 DUN Tioman diadakan lewat susulan kematian calon PN, Allahyarham Md Yunus Ramli yang meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Rompin, pada 19 November lalu.
Mohd Johari atau lebih mesra dengan panggilan Tok Jo menyandang kerusi DUN Tioman sejak 2008 dan menang dengan majoriti 1,280 undi dalam pertandingan empat penjuru pada PRU14.
DUN Tioman mempunyai 28,465 pengundi termasuk 262 pengundi awal dan tiga pengundi pos.
Sekurang-kurangnya 16,508 atau 58.39 peratus pengundi berdaftar keluar menunaikan tanggungjawab manakala 91 kertas undi ditolak. – KHALEEF FITRI