KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden UMNO, Dato’ Seri Mohamad Hasan mencadangkan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) bergabung bagi membentuk kerajaan.
Katanya, Barisan Nasional (BN) bersedia untuk menjadi pembangkang bertanggung jawab untuk melaksanakan peranan semak dan imbang kerajaan baharu yang ditubuhkan nanti, andai cadangannya dipersetujui kedua belah pihak.
“Kami menerima keputusan rakyat yang menolak BN. Maka kami ini tak ada kuasa untuk menubuhkan kerajaan.
“Saya cadangkan biarlah PN dan PH bergabung tubuh kerajaan sebab mereka mendapat bilangan nombor undi lebih tinggi. BN bersedia menjadi pembangkang yg bertanggungjawab ‘check and balance’ (semak dan imbang) kerajaan baru,” katanya menerusi hantaran di Facebook, malam ini.
Beliau bagaimanapun berkata, seandainya bantuan diperlukan dalam waktu peralihan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu lalu, BN tetap bersedia menyumbang kepada pembukaan bicara yang ikhlas dan terbuka.
“Kalau masih tak dapat juga tubuh kerajaan, tolong jangan salahkan kami. Ini hasil daripada proses demokratik, untuk memulangkan mandat kepada rakyat. Kami hanya menghormati keputusan itu.
“Semoga Malaysia sentiasa berada dalam peliharaan Allah SWT,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN