Tok Mi tak kisah lencun agih juadah berbuka puasa dalam hujan

Tok Mi tak kisah lencun agih juadah berbuka puasa dalam hujan

TEMERLOH: Hujan lebat melampau petang tadi di bandar ini, tidak menghalang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Semantan, Dato’ Nor Azmi Mat Ludin untuk mengagihkan juadah berbuka puasa kepada 500 pengguna jalan di Jalan Ahmad Shah di sini.

Istimewanya, Nor Azmi yang mesra disapa Tok Mi, memasak sendiri juadah nasi arab mandi berkenaan untuk diagihkan pada program yang dipanggil Dapur Tok Mi itu.

Katanya, program itu diadakan secara tahunan setiap kali Ramadan sebagai tanda terima kasihnya kepada penduduk kawasan DUN Semantan yang bukan sahaja menerima dan menghargainya sebagai ADUN, malah sentiasa menyokong setiap aktiviti yang disertainya. 

“Saya mula memasak pada jam 8 pagi tadi dan siap untuk diedarkan selepas Asar di depan Arked MARA di Jalan Ahmad Shah.

“Dalam program Dapur Tok Mi sebelum ini, saya masak nasi briyani dan kali ini nasi mandi arab sebanyak 500 bungkus dengan kos kira-kira RM6,000. Selain nasi arab, kami menyediakan air tebu kepada orang ramai yang lalu di jalan ini,” katanya kepada Fikrah Pahang selepas selesai mengagihkan juadah itu, hari ini. – HELMY ABD RAHMAN