RAUB: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Dato’ Sri Shahiruddin Ab Moin turun padang memberi sokongan dan membantu calon baharu, Fadzli Mohamad Kamal bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Saya turun padang bersama Fadzli untuk misi mengekalkan kemenangan DUN Dong dan merampas kembali DUN Tras dan seterusnya Parlimen Raub.
“Walaupun calon baharu, Fadzli sudah dikenali di kawasan ini dan saya yakin dia mampu menggalas tanggungjawab seterusnya mengubah lanskap Dong ke arah lebih baik dalam pelbagai aspek kebajikan, sosial dan ekonomi penduduk,” katanya ketika bertemu pengundi kaum Cina Sungai Ruan, di sini, semalam.
Shahiruddin optimis Barisan Nasional (BN) mampu mengekalkan kemenangan di Dong berdasarkan kerjasama dan hubungan baik yang terjalin di antara ahli parti komponen UMNO, MIC dan MCA sejak sekian lama.
“Sebagai bekas wakil rakyat sejak 1995, saya amat memahami keperluan penduduk dan saya yakin Fadzli akan teruskan semua usaha yang saya lakukan sebelum ini.
“Memasuki hari ketiga kempen, kami sudah menjelajah dan bertemu begitu ramai pengundi Cina di kawasan kampung dan mereka menerima baik Fadzli sebagai calon wakil rakyat menggantikan saya,” katanya. – NUR HANNAH KHADIJAH