Tok Wan ajak orang Pahang undi SK Kempadang jadi juara dunia

Tok Wan ajak orang Pahang undi SK Kempadang jadi juara dunia

KUANTAN: “Saya sangat berbangga kerana Sekolah Kebangsaan (SK) Kempadang tercalon sebagai antara tiga finalis bagi ‘World’s Best School Prizes’ kategori inovasi,” kata YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail. 

Menerusi klip video di Facebook, beliau meminta seluruh rakyat Malaysia untuk mengundi bagi memastikan kejayaan sekolah terbabit yang mewakili Malaysia ke pertandingan bertaraf dunia. 

“Saya merayu semua warga Pahang dan bukan daripada Pahang, untuk mengundi bagi memastikan kejayaan SK Kempadang yang juga satu-satunya sekolah yang mewakili Malaysia ke pertandingan World Best School bertaraf dunia,” katanya.

Wan Rosdy berkata, hampir 3,000 sekolah dari seluruh dunia dicalonkan dalam pertandingan berkenaan.

SK Kempadang kini berada dalam kelompok tiga teratas yang bersaing untuk merebut Anugerah Sekolah Terbaik Dunia yang menawarkan hadiah RM229,000 (AS$50,000) tunai.

Sekolah itu tersenarai bagi kategori inovasi dalam anugerah anjuran T4 Education dengan kerjasama Yayasan Hasanah, Accenture dan American Express, selepas mencipta sistem penyelesaian digital sepenuhnya bagi mengesan kemajuan murid.

SK Kempadang mencipta penyelesaian digital SMARTZOOM, yang mengesan kemajuan pembelajaran murid menggunakan aplikasi Google Sheets. 

Pertandingan itu kini memasuki peringkat undian awam dan orang ramai boleh membuat undian di pautan worldsbestschool.org sehingga 2 Oktober manakala pemenang akan diumumkan pada 19 Oktober depan. – NUR HANNAH KHADIJAH