LIPIS: YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berpuas hati dengan penganjuran Program Jualan Keluarga Malaysia peringkat Cameron Highlands, di Dewan Terbuka Laman Sejahtera Jelai, Sungai Koyan 1, di sini, hari ini.
Katanya, program anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu diyakini membantu meringankan beban masyarakat dalam mendapatkan barang keperluan dengan harga yang berpatutan.
“Hari ini saya berada di Sungai Koyan iaitu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai pada Program Jualan Keluarga Malaysia peringkat Cameron Highlands.
“Harga barang keperluan dijual bawah harga pasaran dalam usaha membantu masyarakat khususnya penduduk luar bandar.
“Oleh itu, penduduk DUN Jelai boleh datang beramai-ramai untuk membeli barang keperluan,” katanya.
Program Jualan Keluarga Malaysia peringkat Cameron Highlands diadakan dua hari yang berakhir esok.
Antara barang keperluan yang dijual ialah ikan, buah-buahan, minyak masak, gula dan telur ayam. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN