KUANTAN: YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail mengajak semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang supaya membantu usaha membanteras aktiviti pencerobohan dan pembersihan tanah milik kerajaan negeri termasuk yang diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal (HSK) di negeri ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri tidak sesekali berkompromi dengan aktiviti sedemikian dan bertindak tegas ke atas penceroboh.
Katanya, sebagai bukti kerajaan negeri serius menangani aktiviti sedemikian, satu pasukan penguat kuasa iaitu Pasukan Elit Penguatkuasa Negeri Pahang ditubuhkan tahun lalu.
“Sekiranya terdapat sebarang laporan, pasukan ini akan segera dikerahkan bagi menjalankan pemantauan.
“Ketegasan kita dalam penguatkuasaan ini adalah untuk meminimumkan ketirisan perolehan atau mematahkan aktiviti yang boleh menyebabkan kerajaan negeri kehilangan pendapatan dan ia terbukti membantu kerajaan negeri memperoleh penambahan kutipan hasil tahun lalu,” katanya.
Beliau demikian ketika menjawab soalan tambahan Young Syefura Othman (DAP- Ketari) mengenai langkah penguatkuasaan diambil untuk membasmi aktiviti pencerobohan tanah secara haram pada sesi soal jawab Mesyuarat Pertama Penggal ke-5 Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Terdahulu, menjawab soalan bertulis Young Safura, Wan Rosdy berkata Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) sudah mengeluarkan sebanyak 40 permit untuk tujuan pertanian dan penternakan di HSK di seluruh negeri ini.
Menurutnya, Cameron Highlands mencatatkan jumlah paling banyak dengan pemberian sebanyak 28 permit.
“Daerah lain yang terdapat dalam senarai pemberian permit bagi tujuan itu ialah di Raub dengan tujuh permit; Kuantan, Pekan dan Maran masing-masing satu dan dua permit lagi bagi Jerantut.
“Sebanyak 122 permit dikeluarkan untuk tujuan lain termasuk 43 bagi permit penggunaan jalan di HSK. Selain itu, JPNP hanya mengeluarkan tiga lesen pembalakan di Bentong pada 2021 iaitu bersamaan 2.17 peratus daripada jumlah lesen yang dikeluarkan iaitu 138 lesen,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN