Tok Wan bangga Lokman sertai Sri Pahang

Tok Wan bangga Lokman sertai Sri Pahang

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail bangga dengan pencapaian Lokman Bah Din selepas terpilih menyarung jersi Sri Pahang FC bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Wan Rosdy berkata, pemilihan Lokman dalam skuad Tok Gajah membuka mata lebih ramai lagi anak muda dalam kalangan Orang Asli untuk bergiat aktif dalam bidang sukan di negara ini.

“Berita baik yang sekian lama kita tunggu-tunggu, akhirnya menjadi realiti apabila dikhabarkan Lokman terpilih untuk bersama skuad Sri Pahang FC pada musim ini. 

“Tahniah, dan selamat maju jaya saya ucapkan kepada beliau. Lokman adalah anak muda Orang Asli yang baru berusia 20 tahun, berasal dari kawasan saya, Kampung Simoi Baru, Pos Betau, Lipis. 

“Saya amat berbangga mendengar khabar adanya anak muda Orang Asli yang seberani Lokman ini dalam menyahut cabaran dalam pelbagai bidang, baik akademik, pentadbiran mahupun sukan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Justeru, Wan Rosdy percaya pemilihan Lokman ke dalam skuad Sri Pahang FC akan membuka mata lebih ramai lagi anak Orang Asli untuk sama bergiat aktif dalam bidang sukan.

“Diharapkan dengan kehadiran Lokman akan memberi impak tertentu dalam skuad Sri Pahang serta berupaya mencipta kejayaan demi kejayaan dalam mengharungi saingan Liga Super Malaysia musim ini. Hogoh Pahang Hogoh!,” katanya.- MUHAMMAD IZZ ZAHIN