KUANTAN: Masalah kesihatan yang dihadapi Azhar Mohamad, 37, yang di serang angin ahmar di Korea Selatan mendapat perhatian YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.
Bukan sahaja berdepan penyakit, lelaki dari Semambu, Kuantan itu turut menghadapi masalah kewangan untuk membiayai kos rawatan di negara itu yang berjumlah RM100,000.
Justeru, bagi meringankan beban azhar, Wan Rosdy meluluskan bantuan segera berjumlah RM30,000 yang akan diuruskan oleh Kerajaan Pahang.
“Saya menerima khabar bahawa seorang rakyat Pahang yang berasal dari Semambu, Azhar diserang strok dan sedang dirawat di Hospital Universiti Kebangsaan Chungbuk, Korea Selatan.
“Berdasarkan maklumat yang diterima daripada adik Azhar, Norul Hanim Mohamad, abangnya diserang strok pada 31 Ogos lalu dan memerlukan sumbangan kewangan berjumlah RM100,000 bagi membiayai kos rawatannya di sana.
“Oleh yang demikian, bagi memastikan saudara Azhar mendapat rawatan yang diperlukannya, saya telah meluluskan bantuan segera berjumlah RM30,000 yang akan diuruskan oleh Kerajaan Pahang,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dalam pada itu, Wan Rosdy juga menyeru orang ramai turut sama membantu dengan menyumbang.
“Sumbangan wang tunai boleh juga disalurkan ke akaun Norul Hanim Mohamad (7004842439 – CIMB).
“Saya juga akan memantau perkembangan keadaan kesihatan saudara Azhar agar kerajaan negeri boleh menyalurkan lagi bantuan yang diperlukan dari semasa ke semasa.
“Saya berdoa semoga saudara Azhar akan mendapat rawatan yang sempurna dan sembuh seperti sedia kala, Insya Allah,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN