Tok Wan bawa slogan “Tiada Janji Lihat Bukti” untuk bertanding Naib Presiden

Tok Wan bawa slogan “Tiada Janji Lihat Bukti” untuk bertanding Naib Presiden

Kuantan 3 Mac 2023. YAB Pengerusi Badan Perhubungan UMNO, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail mendedahkan sebab dia memilih untuk menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti kali ini disebabkan kekosongan yang ditinggalkan oleh Ketua UMNO Bahagian Bera, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob yang tidak akan mempertahankan jawatan tersebut.

“Sebab kedua, sokongan rakyat terhadap UMNO semakin terhakis dan kita kena bangkit semula, kena bekerja sebagai satu pasukan, mungkin sedikit sebanyak pengalaman saya selama mengurus dan mentadbir Pahang terutama ketika 22 bulan pemerintahan Pakatan Harapan boleh saya bawa sekiranya diberi mandat untuk bersama kepimpinan parti.”jelasnya.

Menteri Besar Pahang sejak 2018 mengakui semua calon yang bertanding untuk jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti kali ini ada kelebihan, kekuatan dan hala tuju masing-masing. Bagaimanapun beliau meminta para perwakilan memilih secara bijak supaya barisan Naib Presiden UMNO mempunyai kombinasi terdiri daripada Menteri Besar, Pengerusi UMNO Negeri dan Ahli Parlimen.

Bagaimanapun, Wan Rosdy sentiasa terbuka dan berlapang dada dengan sebarang keputusan perwakilan pada pemilihan UMNO itu nanti.

“Dalam setiap pertandingan sudah tentu ada yang menang kalah dan perlu menerimanya dengan hati terbuka” katanya ketika ditemui selepas pelepasan konvoi Misi Bantuan Kemanusiaan Pahang Prihatin ke Johor di Depoh Simpanan Keperluan Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)di sini.

oleh : Kabhiismail