YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail percaya pesilat negara, Mohamad Hazim Amzad mampu menghadiahkan emas pada temasya Sukan Sea Hanoi, Vietnam.
Beliau mendoakan pesilat Pahang itu melakar kejayaan dan membanggakan negara dan Pahang.
“Selamat maju jaya kepada pesilat negara, Mohamad Hazim, anak kelahiran Pahang yang akan memulakan cabaran bagi acara silat olahraga di temasya Sukan Sea, esok.
“Saya amat yakin cucu kepada peneroka Felda Chini Timur 3 ini mampu melangkah lebih jauh, sekali gus menghadiahkan pingat emas untuk negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Tambahnya, beliau bersama seluruh rakyat Pahang berdoa agar Mohamad Hazim diberikan kekuatan, ketabahan dan keberanian yang tinggi untuk berdepan setiap cabaran.
“Ayuh kita berikan sokongan padu kepada Mohamad Hazim. Malaysia boleh, Pahang boleh,” katanya.
Mohamad Hazim dijadualkan menentang pesilat dari Thailand untuk perlawanan pertama, hari ini. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN