Tok Wan dah mula serah RM1,500 buat mangsa banjir

Tok Wan dah mula serah RM1,500 buat mangsa banjir

PEKAN: Kerajaan Pahang, hari ini, menyampaikan bantuan RM1,500 tunai kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Dato’ Mahmud Mat, di Pulau Serai, di sini. 

YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sumbangan itu adalah wang ihsan yang pertama disampaikan oleh beliau buat mangsa bah di Pahang iaitu RM500 daripada Kerajaan Pahang manakala RM1,000 oleh Kerajaan Persekutuan. 

“Ini tak pernah berlaku sebelum ini. Biasanya, kita hanya menyerahkan sumbangan kepada mangsa apabila mereka pulang ke rumah. 

“Tapi, kita ambil tindakan proaktif supaya dengan menyerahkan sumbangan awal ini akan membolehkan mangsa membeli barangan dan mungkin juga peralatan rumah sebelum mereka balik,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan bantuan wang ihsan RM1,500 kepada 21 ketua isi keluarga (KIR) yang mewakili 66 mangsa banjir. 

Wan Rosdy menjelaskan, keseluruhan kira-kira 18,000 KIR yang mewakili 65,000 mangsa banjir di Pahang akan menerima RM1,500 secepat mungkin.