KUANTAN: Tidak ada sebab untuk rakyat Pahang memilih untuk menukar kerajaan negeri yang diterajui YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.
Dengan pelbagai inisiatif dan insentif diperkenalkan sejak Wan Rosdy mengambilalih tugas daripada Tan Sri Adnan Yaakob, pada Mei 2018, adalah sangat tidak logik jika ada yang berniat untuk ‘menukar selera’ dan memilih kerajaan negeri diterajui parti lain.
Naib Ketua UMNO Bahagian Kuantan, Nara Nikman Nordin, berkata segala program dirangka Kerajaan Barisan Nasional (BN) di Pahang bukan hanya memberi tumpuan kepada dan bukan kumpulan tertentu.
“Benda yang kita boleh nampak depan mata, takkan kita nak nafikan pula. Sejak zaman COVID-19 dengan pelbagai bentuk bantuan kepada keluarga B40, peniaga kecil dan sederhana, bujang atau sudah berkeluarga, semuanya dapat bantuan.
“Selepas COVID-19 reda, bantuan diteruskan untuk memastikan semua yang layak mendapat bantuan sewajarnya,” katanya.
Nara juga berkata, kejayaan paling manis dikecapi selepas 53 bulan ditadbir Wan Rosdy dan barisan EXCO adalah mencapai hasil RM1 bilion lebih awal berbanding tempoh ditetapkan.
Katanya, pencapaian ini juga sekali gus membuktikan Kerajaan Pahang mampu berdikari walaupun pernah diramal berdepan masalah kewangan ketika 22 bulan Pakatan Harapan (PH) menjadi Kerajaan Pusat. – KHALEEF FITRI