SEGAMAT: Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dilantik sebagai Pengerusi Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Zon Timur Johor bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) itu yang akan diadakan 12 Mac ini.
Wan Rosdy diamanahkan oleh UMNO Pusat untuk menjaga zon terbabit yang keseluruhannya mempunyai 12 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“UMNO Pusat mengarahkan UMNO Pahang untuk menjaga tiga bahagian iaitu Segamat, Sekijang dan Mersing di mana setiap kawasan mempuyai dua DUN dan pada masa sama, saya diberitahu bahawa saya dilantik sebagai Pengerusi (BN) Zon Timur (Johor) yang mempunyai 12 DUN.
“Alhamdulillah, setakat ini Pahang telah menggerakkan jentera (pilihan raya) untuk datang ke kawasan yang diminta oleh UMNO Pusat untuk kami bantu, yang mana ada 300 jentera berada di ketiga-tiga bahagian terbabit pada satu satu masa dan kadang-kadang menjangkau sehingga 500 orang,” kata Wan Rosdy.
Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) Buluh Kasap di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, rata-rata pengundi yang ditemui memahami mengapa PRN perlu diadakan.
“Mereka faham mengapa perlu diadakan PRN ini, iaitu untuk kestabilan politik dan kebanyakan mereka tahu dari sudut perkembangan ekonomi, Johor kini jauh merosot berbanding sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
“Sebelum 2018, perkembangan ekonomi Johor amat membanggakan dan sering berada di tempat pertama atau atau kedua, malah pernah mencatatkan perkembangan mengatasi pusat, tetapi sekarang hanya berada di tempat ketujuh atau kelapan.
“Datuk Hasni Mohammad (Pengerusi BN Johor) juga sukar untuk meyakinkan pelabur kerana tidak mendapat sokongan jitu, kalau nak sokong, parti gabungan letakkan bermacam-macam syarat dan ini menyukarkan Kerajaan Johor melaksanakan apa apa dasar untuk kebaikan rakyat,” katanya.
PRN Johor yang membabitkan 56 kerusi DUN, turut menyaksikan pertembungan empat penjuru di 35 kerusi selain pertandingan tiga penjuru di tujuh kerusi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRN Johor pada 12 Mac dan pengundian awal pada 8 Mac. – HELMY ABD RAHMAN