Tok Wan lepas rindu jumpa Orang Asli Kuala Koyan

Tok Wan lepas rindu jumpa Orang Asli Kuala Koyan

LIPIS: “Terubat kerinduan saya kepada masyarakat Orang Asli selepas bertemu mereka di Kuala Koyan petang tadi,” kata YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata demikian selepas meraikan masyarakat Orang Asli Kuala Koyan, dekat sini dalam satu majlis ramah mesra dan penyampaian cek sumbangan Kerajaan Pahang kepada 10 penerima bagi menampung kos membina rumah adat, rawatan pesakit kronik, baik pulih rumah serta menampung kos pengajian ke menara gading. 

Menurutnya, sebanyak RM25,000 diperuntukkan kerajaan negeri bagi tujuan itu.

Selain itu, katanya, banyak manfaat diperoleh masyarakat Orang Asli di bawah kerajaan Barisan Nasional di Pahang yang menjadi pemudah cara untuk merancakkan ekonomi setempat.

“Antaranya, dividen bulanan daripada hasil Ladang TSK (tanam semula komersial) yang diuruskan Syarikat MXF Gemilang Enterprise sejak 2020.

“Syarikat ini dimiliki oleh penduduk Orang Asli Kuala Koyan sendiri sehingga ke hari ini tidak pernah gagal membayar dividen bulanan dan juga bonus tahunan kepada peserta.

“Pada bulan lalu (Disember 2021) sahaja, seramai 133 peserta menerima bonus untuk tahun 2021 berjumlah RM1,000 seorang hasil daripada ladang TSK ini,” katanya.

Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri sentiasa menjaga kebajikan Orang Asli termasuk membabitkan soal pendidikan, ekonomi, kehidupan, pertanian, pembangunan infrastruktur dan sebagainya.

“Ini terbukti bahawa kita sentiasa ada bersama ketika memerlukan pertolongan,” ujarnya.

Sementara itu, Tok Batin, Anchom Luji berkata, masyarakat Orang Asli di situ juga sudah sekian lama menympan hasrat untuk bertemu YAB Menteri Besar.

“Kami juga nak berterima kasih kepada Kerajaan Pahang kerana menjaga masyarkat Orang Asli Kuala Koyan,” katanya. – ZULKEPLI OSMAN