PEKAN: Pelantikan Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail sebagai YAB Menteri Besar adalah keputusan tepat dalam usaha membawa Pahang ke arah lebih berjaya.
Bekas Pengerusi Persatuan Ketua Kampung Daerah Pekan, Abd Kadir Bakar, 72, berkata, beliau amat berpuas hati apabila Wan Rosdy yang mesra dipanggil Tok Wan sekali lagi diberi tanggungjawab memimpin Pahang.
“Banyak kejayaan telah dicipta oleh Tok Wan sepanjang menjadi YAB Menteri Besar sebelum ini, antaranya menyediakan pelbagai bantuan kepada rakyat bermula daripada bayi sehinggalah kepada warga emas,” katanya.
Beliau yang juga pengerusi penaja Persatuan Kebajikan Mantan Ketua Ketua Kampung Daerah Pekan berkata, diharapkan Pahang selepas ini lebih maju dan berjaya di bawah kepimpinan Tok Wan.
Rakannya, Mohammad Safian Man, 67, berkata, hutang Pahang pada kerajaan pusat yang berjaya diselesaikan oleh Tok Wan.
“Kejayaan Pahang meraih pendapatan lebih RM1 bilion tahun ini antara kebolehan luar biasa dapat dilakukan Tok Wan. Saya percaya prestasi itu dapat diulangi pada 2023,” katanya yang pernah menjadi ketua Kampung Kelat Rendang. – MOHD IMRAN IZZAD.