KUANTAN: Keperibadian tinggi tokoh sejarah dan pahlawan Pahang, Mat Kilau dalam mempertahan tanah air perlu ada dalam rakyat Malaysia, khususnya di Pahang.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata ini kerana banyak nilai dan teladan Mat Kilau yang boleh dijadikan panduan dalam kehidupan seharian.
“Nilai itu adalah seperti kekentalan semangat perjuangan dan perasaan cintakan tanah air yang mendalam yang bertepatan dengan sambutan Hari Kebangsaan 2022, pada 31 Ogos ini.
“Saya mendoakan semua roh pejuang tanah air kita dirahmatiNya dan semoga tanah air kita tidak pernah kering daripada melahirkan pejuang tanah air yang bersemangat waja.
“Mungkin bentuk perjuangan berbeza tetapi semangat yang kental tetap sama, Insya Allah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Semalam, Wan Rosdy berkesempatan menziarahi Makam Pahlawan Mat Kilau di Kampung Kedondong, Pulau Tawar, Jerantut.
Mat Kilau yang mempunyai pengetahuan luas dalam bidang agama adalah pahlawan Melayu terbilang kerana berjuang menentang penjajah Inggeris di Pahang sekitar 1880-an. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN